Sejak zaman Nabi Muhammad dan mungkin juga zaman terdahulu darinya, bermusafir, mengembara atau merantau menjadi satu amalan yang baik kepada setiap orang terutama umat Islam yang sememangnya digalakkan untuk sentiasa mencari kebenaran dan ilmu pengetahuan terutama ilmu yang berkaitan tafsiran al-Quran dan sebagainya.
Lihat sahaja tokoh ulama yang terkenal seperti Hujjatul Islam Al-Ghazali yang merantau dan mengembara ke pelusuk negara Arab seperti Jerussalem, Damascus dan Hijaz untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang seperti falsafah, kalam, fuqaha dan batiniah serta mengkaji kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Begitu juga dengan ulama-ulama lain yang terkenal sehinggi kini kerana kekayaan ilmu pengetahuannya hasil dari pengembaraan yang tiada hujungnya seperti Imam Tarmizi, Abu Raihan al-Biruni, Ibnu Hanbal, Imam Syafie dan ramai lagi. Malahan, Nabi Muhammad s.a.w sendiri mengembara dan merantau ke setiap pelusuk negeri untuk menyebarkan Islam kepada umatnya.
Firman Allah melalui surah al-Hajj, ayat 46, yang bermaksud;
"Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada."
Jelas, mengembara dan merantau memang digalakkan dalam Islam sejak dahulu yang bertujuan menimba ilmu dan memperkaya pengalaman serta memperbaiki diri untuk menjalani kehidupan.
Mengembara dan merantau pada masa kini lebih ditafsir sebagai melancong. Konsepnya tetap sama. Seseorang akan keluar dari tempatnya untuk menuju ke satu tempat yang lain sama ada diketahui lokasinya atau tidak yang mempunyai tujuan yang pelbagai seperti keinginan untuk menambah ilmu pengetahuan, mempelajari budaya bangsa lain, memperkaya pengalaman, dan mengenali hal-hal yang baru di tempat lain.
Aktiviti pelancongan yang biasa dijalankan ialah melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah, menyaksikan acara kebudayaan bangsa lain, membeli barangan atau produk yang unik yang tidak terdapat di negara sendiri dan melakukan aktiviti ibadah seperti mengerjakan haji dan umrah serta ibadah yang lain bagi umat Islam. Dan kini, pelancongan berasaskan ibadah menjadi popular dan menarik untuk diketengahkan kepada pelancong tidak mengira bangsa dan agama.
Pelancongan ibadah atau pelancongan keagamaan yang begitu popular pada masa kini turut dirasai oleh Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang terkenal dan kini merupakan satu-satunya negara Islam dan negara kedua dari Asia yang berada dalam kelompok 13 teratas senarai destinasi popular dunia. Hal ini dinyatakan melalui Pertubuhan Pelancongan Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UMWTO) pada tahun 2004.
Dengan potensi pasaran daripada lebih 50 buah negara Islam yang melibatkan sejumlah tidak kurang 1.5 bilion umat Islam, Malaysia mula bertindak aktif dengan memenuhi keperluan bagi kemudahan dan daya tarikan pelancong dari pelbagai negara dan pelbagai agama. Kelebihan sebagai negara Islam yang maju, berbilang bangsa dan agama serta aman menjadikan Malaysia boleh dikunjungi pada bila-bila masa dengan tarikan yang tersendiri termasuklah kebudayaan dan perayaan yang agak banyak dalam setahun.
Statistik terkini menunjukkan pelancong asing yang berkunjung ke Malaysia pada enam bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 2.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, iaitu dari 10,690,426 kepada 10,963,120 orang, menurut Pelancongan Malaysia.
Manakala bilangan pelancong asing yang melawat Malaysia pada Jun tahun ini bertambah sebanyak 8.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, iaitu daripada 1,803,594 kepada 1,961,355 orang yang datang dari pelbagai negara seperti Eropah, Jepun, Korea Selatan, Singapura, china dan Timur Tengah.
Merujuk kepada konsep pelancongan, merantau, mengembara dan bermusafir dalam Islam itu sendiri bermaksud mempelajari sesuatu yang baru, memperkaya pengalaman dan ilmu pengetahuan serta mempelajari budaya luar untuk kefahaman diri tentang kehidupan yang luas ini.
Hal ini secara tidak langsung melambangkan Islam sebagai agama yang tidak menolak kemajuan malahan pandangan seperti ini mampu menolak anggapan Islam sebagai agama yang mundur, ganas dan menakutkan.
Pelancongan Islam berlandaskan aktiviti masyarakatnya juga boleh dijadikan landasan yang baik untuk membuktikan perpaduan, keharmonian, keamanan dan saling menghormati sesama manusia seperti yang dituntut oleh agama Islam sendiri. Ini seterusnya menolak prejudis masyarakat luar terhadap Islam yang di dakwa penuh dengan keganasan serta menolak kemajuan.
Tidak terlupakan sambutan kita sebagai individu terhadap pelancong dengan memaparkan nilai-nilai yang baik sebagai orang Islam seperti ramah, mesra, bantu-membantu, mengamalkan cara hidup Islam yang sebenarnya yang bukan sahaja menunjukkan Islam itu indah tetapi juga boleh menjadi misi dakwah kepada mereka yang berminat mengenali Islam dengan lebih dekat. Oleh itu, pelancongan Islam amat relevan dalam memperkenalkan Islam dan harus diberi perhatian yang serius dari aspek pelaksanaannya.
No comments:
Post a Comment